Gereja Anglikan dibuka minggu depan
KUCHING, 20 Jun (Bernama) -- Gereja-gereja Anglikan hanya akan dibuka semula pada Ahad minggu depan walaupun telah dibenarkan untuk berbuat demikian bermula esok.
Biskop Gereja Anglikan Kuching, wilayah Sarawak dan Brunei, Reverend Datuk Danald Jute berkata keputusan itu diambil kerana pihak gereja berpendapat pembukaan semula rumah ibadat untuk upacara ibadat perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati demi menjaga keselamatan dan kesihatan para penganut.
“Oleh kerana penyakit COVID-19 masih ada, kita tidak mahu mewujudkan suasana semua penganut yang tidak dapat pergi ke gereja selama 15 minggu bergegas masuk (ke dalam gereja),” katanya ketika ditemui Bernama di Saint Thomas Cathedral di sini, hari ini.
Beliau berkata persiapan yang rapi melibatkan semua aspek adalah penting memandangkan Gereja Anglikan merupakan gereja sekramental yang melibatkan pergerakan semasa upacara sembahyang.
“Kita nak pastikan perkataan bersedia ini bukan sekadar bersedia sahaja tetapi kita ada sistem di mana ketua-ketua bahagian gereja yang menyelia penganut-penganut dan gereja wajib memastikan persediaan itu benar-benar dilakukan,” katanya.
Danald berkata sebagai pemulaan, pihak gereja akan membenarkan hanya 100 orang penganut sahaja hadir pada upacara sembahyang yang akan diadakan pada 28 Jun walaupun jumlah maksimum dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam peraturan 3.1 Garis Panduan Pembukaan Rumah-rumah Ibadat Bukan Islam adalah 250 orang.
Beliau berkata jumlah dibenarkan lebih mudah untuk diurus oleh pihak gereja selain dapat memberi peluang sukarelawan gereja mempraktik dan membiasakan dengan jumlah kehadiran penganut pada setiap upacara sembahyang dijalankan.
“Kita akan nasihatkan penganut, sebelum datang ke gereja supaya menyediakan semua keperluan termasuk pemakaian pelitup muka, selain perlu menghubungi pihak gereja untuk mendaftar kedatangan mereka pada hari tersebut,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, pihaknya telah menerima 35 borang pemakluman pembukaan semula rumah ibadat daripada 45 buah gereja di bawah naungan mereka.
“Isnin ini kita menjangkakan semua gereja kita akan menghantar semua borang pemakluman itu kepada kita dan kita akan panjangkan kepada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) dan pada hari Khamis (25 Jun),” katanya.
-- BERNAMA