Kemudahan kesihatan di Bintulu akan ditambah - Aaron Dagang
BINTULU, 20 Jun (Bernama)-- Beberapa buah kemudahan kesihatan seperti klinik kesihatan dan hospital daerah di bahagian Bintulu akan dibina bagi menampung keperluan penduduk yang dijangka mencecah 260,000 orang menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata buat permulaan Klinik Kesihatan Kidurong akan dibina bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk di bahagian seluas negeri Terengganu itu.
“Tapak telah dikenal pasti dan diperoleh. Sekarang kita tunggu kelulusan dan peruntukan bagi pembinaan klinik tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bintulu di sini, hari ini.
Aaron berkata kemudahan lain yang masih dalam cadangan ialah pembinaan sebuah hospital di daerah Tatau, Klinik Kesihatan Samalaju dan Klinik Kesihatan Kakus.
Ketika ini bahagian tersebut mempunyai 12 Klinik Kesihatan, sebuah klinik komuniti dan sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.
Mengenai lawatan tersebut, Aaron berkata permohonan pembinaan blok baharu hospital berkenaan yang mencecah kos RM400 juta kini masih dalam proses perbincangan.
Pembinaan blok baharu itu untuk menempatkan 250 katil bagi mengatasi kesesakan di hospital tersebut, terutama di wad lelaki.
Terdahulu, Aaron melawat makmal pengesanan COVID-19 hospital berkenaan yang telah mempunyai sebuah mesin tindak balas rantai polimer (PCR) baharu.
Beliau berkata dengan pertambahan mesin itu, sampel pesakit COVID-19 di bahagian itu tidak perlu lagi dihantar ke Hospital Sibu atau Hospital Miri untuk diuji.
-- BERNAMA