Guru maut dipanah petir
DALAT : Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bungan Besar, Batang Igan maut akibat dipanah petir dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang tadi.
Ketika kejadian mangsa sedang mengemudi bot di bahagian hadapan, manakala dua orang lagi rakannya merupakan seorang guru dan seorang kerani berada di belakang lebih kurang sejauh 25 meter.
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chungat berkata, mangsa Alvin Chelen 32 sedang dalam perjalanan pulang menaiki bot dari sekolahnya menuju ke Sungai Kut Dalat.
"Kejadian tersebut berlaku tadi tidak jauh dari Rumah Penguang. Cuaca dalam keadaan hujan renyai,” katanya.
Saga berkata, menurut saksi yang berada di belakang bot mangsa, mereka melihat secara jelas tiba-tiba petir dari langit telah menyambar mangsa.
“Mangsa yang dikenali terus rebah ke belakang dan kedua-dua rakannya segera mematikan enjin bot lalu cuba menyelamatkan mangsa namun mangsa telah meninggal dunia.
“Seterusnya, dua rakan mangsa menunda bot mangsa ke jeti Sungai Kut yang terletak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian dan terus menghubungi pihak ambulans dan Polis,” katanya.
Pihak polis tiba di jeti berkenaan 15 minit kemudian dan membawa mangsa ke Hospital Dalat.
Doktor mengesahkan mangsa cedera serius dibahagian kepala akibat dipanah petir, dan terdapat kesan rambut terbakar pada luka kepala dan pada baju mangsa turut mengalami kesan terbakar.