Juru jual rugi RM16,970 ditipu skim pinjamam tidak wujud
SIBU: Seorang juru jual lelaki berusia 24 tahun,di sini, kerugian RM16,970 setelah terpedaya dengan skim pinjaman tidak wujud di laman sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, pada 12 Jun lalu, jam 11.45 pagi, bertempat di Jalan Merdeka, juru jual melayari laman facebook dan terlihat satu iklan menawarkan khidmat pinjaman wang yang menggunakan nama Maybank Personel Loan.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut ingin membuat pinjaman sebanyak RM15,000 kerana ingin membuat perniagaan online.
"Mangsa telah berhubung melalui whatsapp dengan staf syarikat yang bernama Albert dan dimaklumkan jika ingin mendapatkan pinjaman tersebut, dikehendaki membuat beberapa pembayaran sebelum pinjaman tersebut diluluskan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,mangsa yang terpedaya diarahkan membuat pembayaran melalui beberapa transaksi ke akaun bank yang diarahkan sindiket mulai 18 Jun hingga 20 Jun lalu.
"Setelah membuat pembayaran sebanyak RM16,970, mangsa masih diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM2,000 lagi dan pelbagai alasan telah diberikan untuk meluluskan pinjaman menyebabkan mangsa sedar bahawa dirinya telah ditipu,"tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.