Kelulusan kapasiti penumpang 100 peratus atasi tiket melambung

TIKET CECAH RM2,100

KUCHING: Langkah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) meluluskan kapasiti penuh penumpang untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sarawak bagi mengelak harga tambang melambung.

Kadar tambang dikenakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Kuala Lumpur ke Kuching sebanyak RM2,100 manakala dari Kuala Lumpur ke Miri mencecah RM2,366.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, sehubungan itu, semua syarikat penerbangan perlu meneruskan kekerapan penerbangan dengan kapasiti penumpang 100 peratus supaya tambang dapat diturunkan pada kadar sebelum pelaksanaan PKP.

“Dengan peningkatan kapasiti penumpang kepada 100 peratus dan kekerapan penerbangan, kita berharap syarikat penerbangan dapat menurunkan tambang kepada kadar sebelum pelaksanaan PKP yang munasabah dan dapat diterima orang ramai,” katanya.

Katanya, syarikat penerbangan perlu membuat permohonan rasmi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk meningkatkan jumlah penerbangan ke Sarawak.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat khas bersama syarikat penerbangan dan agensi berkaitan penerbangan di Sarawak.

Katanya, mesyuarat tersebut diadakan bagi menyampaikan persetujuan JPBN untuk penerbangan kapasiti penuh antara Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan sejajar dengan keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, keputusan JPBNS untuk membenarkan kapasiti penuh penerbangan dibuat selepas mengambil kira situasi COVID-19 di negeri ini semakin baik, merangsang perkembangan ekonomi domestik dalam sektor pelancongan dan memudahkan pergerakan orang ramai dan barangan untuk urusan perniagaan, tugasan rasmi serta urusan peribadi.

"Semua operator penerbangan dan lapangan terbang perlu mematuhi ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap para penumpang semasa di terminal dan di dalam pesawat," katanya.




Beliau berkata, kapasiti penerbangan yang dibenarkan oleh JPBN hanya 66.6 peratus untuk kedua-dua penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan untuk penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.

"Walaupun persetujuan telah diberikan untuk perjalanan antara negeri dan dengan kapasiti penerbangan 100 peratus, semua agensi seperti pengendali lapangan terbang dan pengendali syarikat penerbangan mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat pada penumpang di terminal dan semasa berada di dalam pesawat .

"Ini termasuk pemeriksaan suhu badan melalui pengimbas termal atau termometer inframerah sebelum memasuki terminal lapangan terbang, syarat penggunaan pelitup muka oleh kru dan penumpang dan penggunaan pembersih tangan," ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya yakin bahawa semua pihak berkepentingan yang terlibat terutamanya pengendali lapangan terbang, pengendali syarikat penerbangan dan penumpang akan memainkan peranan mereka dan bekerjasama dalam mematuhi SOP untuk mengekang penyebaran covid-19 di negeri ini.


LihatTutupKomentar
Cancel