Kementerian Pendidikan Sarawak lawat 188 sekolah
KUCHING, 11 Jun: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan melawat semua sekolah menengah yang ada pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini dan membantu seramai 2,664 guru dari Semenanjung kembali berkhidmat di sekolah negeri ini sebelum 24 Jun depan.
Menterinya Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata demikian berikutan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan kelas bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, SVM, STAM dan STPM akan bermula 24 Jun depan.
"Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dengan Pengawai Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) termasuk dari kementerian saya akan melawat semua sekolah ini dalam tempoh satu minggu bermula Isnin depan supaya memastikan semua sekolah ini betul-betul bersedia (bagi dibuka semula sebelum 24 Jun),"katanya berkata demikian ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Manyin berkata ada sebanyak 188 sekolah menengah di negeri ini yang ada pelajar tingkatan lima dan enam dengan pihaknya juga akan mengunakan helikopter bagi melawat sekolah itu yang jauh di pedalaman berdasarkan jadual yang akan dikeluarkan JPNS.
"Sarawak keseluruhannya ada seramai 34, 306 pelajar tingkatan lima dan 6, 782 pelajar tingkatan enam. Sebanyak 41 sekolah menengah di negeri ini juga ada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang,"katanya.
Beliau berkata antara persediaan sekolah terbabit sebelum dibuka ialah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap kelas maksima ada seramai 20 pelajar sahaja bagi penjarakkan sosial.
Selain itu, pihaknya juga akan membantu seramai 2, 664 guru dari Semenanjung kembali berkhidmat di sekolah negeri ini sebelum 24 Jun depan kerana mereka sepatutnya sudah melapor diri di negeri ini pada 9 Jun lepas.
"Kami telah berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan cuba mendapatkan Sarawak Volunteers (SV) bagi membantu guru terbabit kembali ke Sarawak berikutan masih tidak cukup penerbangan ke negeri ini ,"katanya.
Pihaknya akan meminta SV membantu guru terbabit menempah tiket penerbangan ke negeri ini dan setelah kembali ke negeri ini, semua guru terbabit akan dikuarantin selama 14 hari dengan yang di kawasan bandar akan dikuarantin di rumah manakala yang di luar bandar dikuarantin di hotel dan kosnya ditanggung negeri.
Katanya sebelum ini guru terbabit mengadu sukar pulang ke negeri kini sebelum 9 Jun lepas kerana harga tiket yang mahal ditambah tidak cukup penerbangan ke Sarawak termasuk lebih 400 guru itu yang akan mengajar tingkatan lima dan enam.
Selain itu, beliau juga meminta ibu bapa tidak khuatir membenarkan anak mereka terutama yang di tingkatan lima dan enam kembali ke sekolah pada 24 Jun depan kerana kerja sanitasi telah dilakukan terhadap tiga sekolah yang ada kes positif Covid-19 sebelum ini iaity dua di Kota Samarahan dan satu di Kuching.