Sarawak Volunteers bantu 1,716 guru balik Sarawak
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
KUALA LUMPUR : Sarawak Volunteers (SV) terpaksa membuat penerbangan sewa khas bagi membantu hampir 2,000 guru untuk pulang ke stesen perkhidmatan masing-masing di Sarawak.
Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penerbangan sewa khas itu dijangka akan mula berlepas pada 14 Jun ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Fadillah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah memberi kelulusan kepada 1,716 guru yang memohon untuk balik bertugas ke Sarawak.
Katanya, manakala 294 guru yang memohon untuk balik ke Semenanjung atau Sabah dari Sarawak juga dibantu.
"14 Jun depan adalah penerbangan pertama Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak.
"Manakala mulai 15 Jun pihak Jawatankuasa merancang untuk mengadakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu, Kuala Lumpur ke Bintulu, Kuala Lumpur ke Miri," katanya kepada wartawan.
Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, pemohon sebelum ini diminta mengisi borang menerusi aplikasi MySejahtera termasuk mematuhi prosidur kesihatan.
"Antaranya membuat deklarasi kesihatan, saringan COVID-19 sebelum dipertimbangkan untuk memulakan perjalanan pulang.
"Selain itu, selepas pulang ke sini prosidur kesihatan seterusnya seperti kuarantin di rumah masing-masing turut perlu dipatuhi," katanya.