Laporan SPRM terhadap bekas Menteri dan bekas Peguam Negara
SHAH ALAM, 2 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menerima satu laporan yang dibuat terhadap seorang bekas menteri dan bekas peguam negara kerana didakwa melakukan salah guna kuasa ketika dalam kerajaan.
Laporan itu dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan iaitu Gerakan Tuntut Malaysia yang diwakili pengerusinya, A’zlan Abu Bakar di ibu pejabat SPRM Selangor, Seksyen 16 di sini.
A’zlan berkata pihaknya turut mengemukakan beberapa dokumen kepada SPRM Selangor untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.
“Kami mohon SPRM mengambil tindakan segera dan mempercepatkan siasatan kerana kami khuatir sekiranya ia tidak disegerakan, kemungkinan pihak terlibat menghapuskan bukti yang ada atau melarikan diri,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata siasatan mengenainya akan dijalankan.
-- BERNAMA