Lebih 600 remaja hamil luar nikah
KUCHING,12 Jun: Sarawak mencatatkan sebanyak 623 kes remaja hamil dari Januari hingga April dan lima kes pembuangan bayi dari Januari hingga 10 Jun tahun ini.
Dari 623 kes remaja hamil terbabit, sebanyak 59.7 peratus adalah remaja hamil yang tidak berkahwin dan sebanyak 97.6 peratus remaja terbabit tidak bersekolah atau berhenti sekolah.
Manakala lima kes pembuangan bayi hingga 10 Jun tahun ini adalah menyamai bilangan yang direkodkan pada tahun lepas dan kemungkinan ada tambahan dalam baki enam bulan tahun ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata secara keseluruhannya trend kes kehamilan remaja di negeri ini menunjukkan penurunan dari segi bilangan kes dan peratusan antara 2015 yang mencatatkan 2,909 kes dan 2019 yang mencatatkan 1,967 kes.
"Penurunan yang direkodkan dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 942 kes atau 32 peratus,"katanya dalam kenyataannya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Peringkat Negeri melalui persidangan video semalam.
Fatimah berkata terdapat peningkatan sebanyak 14.83 peratus dalam kes yang tidak berkahwin dikalangan remaja hamil di Sarawak dari 48.47 peratus pada 2015 kepada 63.3 peratus pada 2019.
Katanya peningkatan sebanyak 2.2 peratus juga dicatatkan bagi remaja hamil yang tidak bersekolah atau berhenti sekolah dari 94.5 peratus pada 2015 kepada 96.7 peratus pada 2019.
Sehubungan itu keutamaan intervensi bagi menangani masalah terbabit adalah kepada lokasi dan kumpulan etnik yang menunjukkan kadar kehamilan remaja yang tinggi dan terhadap kumpulan umur dibawah 18 tahun.
"Selain itu, panduan dan Standard Operating Procedure (SOP) bagi perkahwinan bawah umur perlu ditambahbaik, seragam dan dikawal dengan kriteria yang ketat bagi perkahwinan mengikut adat dan perkahwinan sivil,"katanya.
Bagi kes buang bayi pula, kesedaran dan advokasi kepada kumpulan rentan perlu dijalankan agar mereka mengetahui tentang sokongan dan perlindungan yang disediakan pelbagai pihak sekiranya mereka mengandung di luar nikah dan tidak diterima keluarga.
" Jabatan Kebajikan Masyarakat contohnya menpunyai pusat bagi remaja hamil yang tidak diterima oleh keluarga mereka,"katanya.