Sekat PATI dari laluan gajah dekat Batu Lintang, Sri Aman
SRI AMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman memfokuskan Sekatan Jakan Raya (SJR) di simpang Kampung Entebar / Tintikah, Pekan Batu Lintang, di sini, bagi menyekat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) membolosi negeri ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata,
terdapat dua laluan gajah dan satu jalan tikus dikenal pasti di kawasan Pekan Batu Lintang itu yang menjadi laluan utama kemasukan PATI ke Sarawak.
"Kita meneruskan SJR selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) dengan memberikan tumpuan kawasan berdekatan sempadan antara Malaysia - Indonesia dalam Op Benteng COVID-19 bermula semalam.
"Setakat ini belum ada kemasukan PATI melalui laluan itu sejak SJR dilaksanakan," katanya selepas melawat SJR terbabit malam tadi.
Katanya,SJR itu dilaksanakan selaras dengan keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
"Tujuan utama adalah bagi mengekang kemasukan PATI ke Daerah Sri Aman.
"SJR ini juga dapat mencegah kegiatan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan,"katanya.
Beliau berkata,SJR terbabit beroperasi 24 jam dengan penggiliran pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sri Aman.