Lebih separuh pelajar Sarawak tiada akses Internet, Manyin
KUCHING: Lebih 50 peratus pelajar di Sarawak tidak mempunyai akses internet sehingga menyukarkan pembelajaran dalam talian.
Malah kekangan tersebut turut dihadapi pelajar, apabila ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan telefon pintar meskipun tinggal di bandar.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Sri Micheal Manyin Jawong berkata, ia adalah antara masalah dihadapi pelajar di Sarawak terutama apabila berhadapan pembelajaran dalam talian.
“Selain itu, masalah mendapatkan akses internet juga membelenggu pelajar terutama dari luar bandar. Oleh itu, masalah ini merumitkan pelajar yang mengikuti pembelajaran dalam talian," katanya pada sidang media berkenaan dengan pembukaan sekolah di Sarawak, Khamis.
Manyin berkata, Sarawak menyambut baik pengumuman yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin semalam.
“Sarawak melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan kementerian saya menyambut baik pengumuman yang diumumkan kelmarin mengenai sekolah akan dibuka semula pada 24 Jun tahun ini terutamanya bagi kelas-kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Ini akan dibuka pada 24 Jun bulan ini seperti mana yang telah diumumkan oleh menteri pendidikan kelmarin.
“Dan kita di negeri Sarawak amat menyokong seratus peratus usaha ini,”
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan untuk meneruskan sesi pembelajaran dalam talian di rumah yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).