Lima balai bomba baharu siap 2021


KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bakal menerima lima balai baharu tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan 39 buah.

Pengarahnya Khairuddin Drahman @ Hussaini berkata lima balai terbabit yang dibina di Belaga, Asajaya, Lutong di Miri, Sibu Jaya di Sibu dan Bintangor kini antara 11 dan 98 peratus siap.

“Kita memerlukan lebih kurang 50 buah balai untuk (membolehkan) liputan kebombaan yang ideal (di Sarawak) dan setakat ini kita ada 34 buah balai yang sudah beroperasi termasuk yang terbaharu Balai Bomba dan Penyelamat Selangau (di Sibu),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sarawak, di sini hari ini.

Bagi menampung keperluan semasa, beliau berkata JBPM Sarawak meletakkan pasukan peronda di kawasan berisiko berlaku kebakaran di samping pasukan bomba sukarela dan pasukan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) serta pasukan bomba komuniti di kawasan yang jauh terpencil.

Khairuddin berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), JBPM Sarawak telah menjalankan 1,322 operasi sanitasi awam melibatkan kos sebanyak RM58,000.

“Kos kita lebih kepada pembelian cecair pembasmi kuman manakala peralatan-peralatan lain kebanyakannya disumbangkan oleh badan-badan persendirian dan korporat,” katanya.

 Beliau berkata satu pasukan pertugas khas turut ditubuhkan oleh JBPM Sarawak untuk melaksanakan pemeriksaan di setiap premis bagi memastikan pematuhan keselamatan dan prosedur operasi standard dalam kalangan pemilik sebelum premis terbabit dibenarkan beroperasi.

“Sehingga semalam kita telah memeriksa lebih kurang 515 buah premis meliputi pasar raya, kilang, restoran, pejabat kerajaan, bank, terminal pengangkutan darat, udara dan air, tempat pembinaan, tempat ibadat serta pasar awam atau pasar tani,” katanya.

Pada majlis hari ini, seramai 62 daripada keseluruhan 113 anggota dan pegawai JBPM Sarawak menerima anugerah masing-masing, manakala bakinya akan menerima anugerah mereka di Miri pada 10 Julai ini.

-- BERNAMA


LihatTutupKomentar
Cancel