93 sekolah daif dinaiktaraf guna wang RM700 juta


KUCHING, 26 Jun: Sebanyak 93 sekolah daif sudah siap kerja naiktaraf atau sedang dibina dengan kos RM700 juta yang mengunakan peruntukan RM1 bilion dibayar kerajaan Sarawak kepada kerajaan pusat sebagai bayaran ansuran pinjamannya.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata sebanyak RM700 juta terbabit yang dibayar kerajaan Sarawak adalah terbahagi kepada bayaran fasa pertama sebanyak RM350 juta dan bayaran fasa kedua juga sebanyak RM350 juta kepada kerajaan pusat.

"Bayaran fasa pertama sebanyak RM350 juta bagi (membina semula) 41 sekolah yang (sebahagian) sedang dalam pembinaan dan sebahagian dalam proses perolehan (tender). Manakala (pembinaan semula) 52 sekolah lagi mengunakan bayaran fasa kedua sebanyak RM350 juta juga dan sekarang ini dalam proses untuk ditender,"katanya ketika mengadakan sidang media di Ibupejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di Wisma Saberkas, di sini, hari ini.

Fadillah berkata bayaran fasa ketiga sebanyak RM300 juta dan baki peruntukan RM1 bilion terbabit pula sedang dimuktamatkan senarai sekolah daif di negeri ini yang akan dibina semula mengunakan bayaran itu.

Selain bayaran ansuran pinjaman kerajaan negeri itu, beliau mendedahkan pada 2017 Sarawak diperuntukkan kerajaan pusat sebanyak RM93.3 juta bagi membina semula 30 sekolah daif diikuti RM416 juta pada 2018 bagi membina semula 116 sekolah daif serta sudah siap pembinaannya.

"Cuma pada 2019 Sarawak kita dapat (membina semula) 32 sekolah itu dengan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM110 juta dengan 18 sekolah terbabit sudah siap dibina dan 12 sekolah dalam pembinaan serta dua sekolah lagi dalam proses tender,"katanya.

Fadillah berkata tahun ini tiada peruntukan bagi menaiktaraf sekolah daif dari kerajaan pusat tetapi negeri akan mengunakan peruntukan RM1 bilion terbabit bagi terus membina semula sekolah itu.

LihatTutupKomentar
Cancel