Masyarakat Pakan sambut baik usaha MCMC
KUCHING:Masyarakat Pakan menyambut baik komitmen dan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkasakan liputan internet di seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, antara 185 menara telekomunikasi yang akan dibina, tujuh daripadanya adalah didalam kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Pakan.
"Kita berasa sangat teruja dengan perkembangan ini dan bagi pihak masyarakat Pakan, kita ucapkan terima kasih dan penghargaan yang tak terhingga kepada SKMM kerana inisiatif menyenaraikan Pakan di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP2).
"Kita juga mengalu-alukan pihak SKMM ke Pakan bagi melihat sendiri bagaimana menara-menara telekomunikasi tersebut boleh dibina dengan sebaik-baiknya,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,dengan adanya menara-menara telekomunikasi terbabit,ia akan menganjak Pakan selangkah ke hadapan, khususnya berkaitan dengan Ekonomi Digital dan pertanian moden yang memerlukan telekomunikasi dan liputan Internet yang baik.
"Pakan kini mempunyai perhubungan jalan yang baik yang menghubungi rumah-rumah panjang dari jalan utama dan ini akan memudahkan kerja-kerja pembinaan menara-menara telekomunikasi ini.
"Kesemua menara terbabit dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021 dan Pusat Khidmat Masyarakat Pakan terbuka bagi apa jua perbincangan lanjut berkaitan dengan perlaksanaan projek ini,"katanya.
Mawan berkata, beliau difahamkan SKMM juga akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat.
"Ini bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah pelajar dan penduduk di kawasan terbabit yang terpaksa keluar jauh daripada kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.
"Hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan itu bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti sekali gus memperbaiki taraf kehidupan mereka,"katanya.