Pahlawan Negara, Ngalinuh selamat dikebumikan
MIRI: Jasad pahlawan negara mendiang bekas Sub Inspektor Ngalinuh Bala selamat dikebumikan mengikut istiadat pengebumian Negeri di tanah perkuburan Tanah Perkuburan kristian Sidang Injil Borneo (SIB) di Lambir pada jam 4.30 petang tadi.
Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat-handai dan bekas rakan sekerja mendiang hadir di tanah perkuburan untuk pengebumian.
Turut hadir TimbaIan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala, bekas TimbaIan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Adun Telang Usan Dennis Ngau, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuko Aidi Ismail, bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.
Terdahulu, jasad beliau dibawa ke Gereja SIB Bukit Kanada untuk penghormatan terakhir.
Mendiang meninggal dunia di Hospital Miri akibat diabetes dan komplikasi paru-paru, jam 6.47 petang pada 23 Jun lalu.
Mendiang Ngalinuh adalah penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Kelima Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.
Pemergian mendiang meninggalkan seorang balu, Sinah Ngalinuh Bala, 73, lima orang anak, sembilan orang cucu dan seorang cicit.
Sementara itu Datuk Gerawat Gala berkata, Kerajaan Sarawak menghargai keberanian dan pengorbanan Ngalinuh Bala yang luar biasa untuk negara.
"Kerajaan Negeri Sarawak menghormatinya dengan Pengebumian Negeri yang kita saksikan hari ini. Ini adalah penghormatan yang diberikan kepada pemimpin tertinggi negara.
"Saya di sini mewakili YAB KM dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghormati dan memberi penghormatan kepada salah seorang pahlawan Negara dan Nasional terhebat kami," katanya.