Warga emas maut digigit anjing Rabies
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengesahkan satu kes kematian membabitkan warga emas berusia 62 tahun dari Sibu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mendiang digigit oleh seekor anjing milik saudaranya di betis kanan semasa mengunjungi rumah saudaranya di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei lalu.
Menurutnya, pesakit meninggal dunia pada 23 Jun pada jam 7.00 petang semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Hospital Sibu.
"Mangsa telah mencuci luka tersebut dengan menggunakan air sabun selama 15 minit dan telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
"Namun beliau gagal untuk mendapatkan rawatan susulan yang sangat perlu
sebanyak 2 dos berikutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Menurutnya, semua mangsa yang telah digigit anjing hendaklah mendapatkan tiga dos lengkap suntikan anti Rabies.