PEDAS tidak sokong parti politik
KUCHING, 24 Jun: Persatuan Dayak Sarawak ( PEDAS) yang mempertahankan tanah hak adat (NCR) tetapi tidak mahu terbabit dalam politik meminta parti politik di Sarawak mengelakkan mengunakan gambar perjuangan persatuan itu.
Presidennya, Muhd Imran Collin berkata demikian kerana ada para cyber trooper politik telah mengunakan gambar persatuan itu sewenangnya bagi memancing undi masyarakat Dayak kepada satu parti politik tempatan.
"Saya minta para cyber trooper politik jangan sewenang wenangnya perpergunakan perjuangan orang lain untuk meraih sokongan politik seperti apa yang didalam gambar di bawah," menurutnya di laman Facebooknya hari ini.
Collin berkata dari dulu sehingga kini PEDAS tidak pernah terlibat secara langsung dalam mana-mana parti politik dan walaupun beberapa indvidu menganggotai parti itu dan penyokong kuat perjuangan mereka, itu bukan bermakna PEDAS menyokong dasar perjuangan parti tersebut.
"Ini kerana dasar perjuangan kami adalah menyokong yang baik untuk masyarakat dan membantah yang dianggap salah. Kami tidak mahu diheret dalam kancah politik dan dipergunakan oleh mana mana parti politik tanpa pengetahuan kami,"katanya.
Katanya sokongan kepada mana-mana ahli politik atau parti politik adalah hak individu tetapi bukan dasar perjuangan PEDAS dan berikutan itu memohon tidak digunakan gambar perjuangan sebagai bahan kempen politik.