Lebih 500,000 PATI sudah diusir dari Sabah

SABAH: Seramai 595,193 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir dari Sabah setakat ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah 
Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, manakala seramai 267 orang PATI Indonesia diusir ke negara asal bermula hari ini melalui jalan jalan laut dari pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia. 
“Ini merupakan pengusiran ke-17 dan ke-18 melalui laut pada tahun 2020 melibatkan PATI Filipina dan Indonesia.”

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun ini seramai 3,936 orang termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang telah diusir melalui udara yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, MKN Sabah bersama JIM menyelaras tanggungjawab dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis DiRaja Malaysia dan pelbagai agensi yang lain untuk mengusir PATI ke negara asal semenjak tahun 1990. 

“Seperti siri pengusiran sebelum ini, semua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.”
“MKN berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat khususnya kerajaan Indonesia yang berterusan memberikan kerjasama yang sangat baik dalam setiap siri pengusiran yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menambah, tindakan mereka mencerminkan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan warganegara mereka walaupun berstatus PATI. 
Katanya, kerajaan Filipina melalui Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur juga telah memberikan respon yang positif dalam urusan pengusiran tahanan PATI Filipina di Pusat Tahanan Sementara (PTS). 

“Hasil kerjasama baik yang diberikan oleh mereka, pengusiran tahanan PATI Filipina juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.”


Beliau berharap komitmen jitu ini dapat diteruskan oleh kedua-dua negara tersebut demi kelancaran siri-siri pengusiran yang akan datang.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI akan sentiasa dijalankan selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan keberadaan PATI negeri Sabah.
LihatTutupKomentar
Cancel