Saya sudah tunaikan janji di Sibu, Abang Jo
SIBU, 24 Jun (Bernama) -- Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata beliau telah melaksanakan janji-janjinya kepada penduduk Sibu, yang dibuatnya semasa beliau dilantik sebagai Ketua Menteri sekitar tiga tahun lepas.
Beliau berkata projek bagi meningkatkan pembangunan serta pelan pembaharuan bandar Sibu sedang dijalankan, dan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, (RMK-12), yang bermula tahun depan.
“Pelaksanaan projek di Sibu adalah berdasarkan kepada rancangan untuk meningkatkan pembangunan kawasan ini, dan juga projek pembaharuan urban di Sibu,” katanya kepada pemberita di sini selepas melawat projek Rumah Spektra Permata di Kemuyang, di sini.
Sebagaimana yang anda tahu kita berhasrat menjadikan Sibu sebagai sebuah kawasan yang berkembang pesat, dengan saling hubungan kawasan pedalaman,” tambahnya.
Satu daripada pojek itu adalah pembinaan jalan raya berkembar sejauh lapan kilometer menghubungkan kawasan Sibu Jaya dan Lanang bernilai RM100 juta, yang apabila disiapkan akan memacu Sibu Jaya sebagai sebahagian daripada kawasan pembangunan baharu di Sibu, dan menghubungkan daerah itu dengan bandar Bintangor dan Sarikei.
Abang Johari berkata jalan itu juga akan menghubungkan Jalan Kong Yit Khim, yang turut akan dinaik taraf kepada jalan raya berkembar di bawah RMK-12 yang menghubungkan Lanang dan jambatan Durin, sehingga ke Kanowit dan Kapit.
Beliau berkata laluan sejauh sembilan kilometer antara Ngemah di Kanowit dan Temalat di Song juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan Oktober atau November ini.
Merujuk kepada projek perumahan Rumah Spektra Permata yang melibatkan pembinaan 110 unit rumah ketika ini yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan, Abang Johari berkata 86 daripada unit itu telah disiapkan 93.5 peratus, manakala 24 unit lagi telah siap 24 peratus.
Menurutnya projek perumahan itu akan memenuhi keperluan anggota keluarga dari kalangan penduduk Kampung Hilir, Kampung Nyabor dan Kampung Bandung.
“Jalan raya sembilan kilometer yang menghubungkan Kemuyang dengan Jalan Teku-Pasai Siong, akan dibina di bawah RMK-12,” tambahnya.
-- BERNAMA