Pengusaha gunting rambut perlu letak tanda harga
KUCHING:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan bahawa kadar baharu harga gunting rambut mestilah sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pekedai.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata,sebagai contoh, sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pemakaian pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan baru dan cecair sanitasi tangan maka hanya kos barangan yang terlibat ini sahaja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain daripada kos asal upah upah gunting.
"Jika barangan tambahan yang terlibat adalah apron plastik penutup badan pengguna berharga RM3, kos sarung tangan RM0.50 dan cecair sanitasi tangan RM0.30, maka jumlah kos tambahan yang boleh dikenakan adalah sebanyak RM3.80 sahaja.
"Pengusaha kedai gunting rambut tidak boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM10,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyarankan menyarankan agar premis-premis gunting rambut dan kecantikan mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut.
"Dengan adanya senarai harga ini, pelanggan dapat menyemak harga lebih awal dan mengelakkan kekeliruan.
"Di pihak pengguna pula, mereka boleh membuat aduan kepada KPDNHEP terhadap mana-mana kedai gunting dan pendandan rambut serta salun kecantikan yang mengenakan caj berlebihan yang tidak munasabah,"tegasnya.
Katanya,kes boleh disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).
Dalam pada itu,Alexander menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dilaksanakan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos
2020.
"Langkah ini semestinya dapat membantu usaha semua pihak dalam memulihkan sektor ekonomi negara yang lumpuh akibat penularan wabak Covid-19 yang memaksa Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu.
"Dengan pelaksanaan PKPP, kita bakal menyaksikan banyak sektor ekonomi akan dibuka semula secara berperingkat,"katanya.