Projek cili sekolah kena kebas
![]() |
Penanaman cili secara fertigasi gantung di Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong di Bintulu. |
KUCHING, 7 Jun: Harga cili yang baik di pasaran ketika ini menyebabkan kebun cili yang sedang lebat berbuah menjadi sasaran pencuri.
Ini berlaku kepada kebun Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong di Bintulu yang dimulakan koperasi sekolah itu dua tahun lepas di kawasan seluas hampir satu ekar dan pada musim tuaian ini disasarkan menghasilkan sehingga lima tan cili.
Pengurus projek, Narawi Mohamad,46, berkata kebun cili secara fertigasi gantung disyaki dimasuki pencuri ketika hari hujan melanda semalam.
"Kalau haiwan besar, kecil sahaja bekas laluan masuk haiwan itu ke kebun itu. Selain bekas laluan yang besar terdapat juga bekas orang mengutip buah cili yang sudah masak,"katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya ini merupakan kali kedua kebun cili itu dimasuki pencuri dan sebelum ini pencuri juga mengambil polybeg digunakan penanaman secara fertigasi gantung dan percaya pencuri kemungkinan berminat menanam cili dengan kaedah baharu itu.
"Ini kerana fertigasi gantung sesuai bagi penanaman cili yang dapat tumbuh dengan baik ditempat yang selalu dinaiki air, selain kerja meracun dan menuai yang lebih mudah,"katanya.
Beliau berkata harga kebun bagi cili ketika ini adalah baik malahan akan mampu memberi pulangan lebih lumayan jika penanamnya dapat menjual sendiri cili mereka ke pasaran.