Projek RTP banyak atasi masalah isu luar bandar
LIMBANG: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah berjaya menyelesaikan banyak isu berkaitan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, pelaksanaan RTP ini telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat di luar bandar seperti di Daerah Limbang dalam merasai nikmat pembangunan khususnya melibatkan infrastruktur.
“Kita dapati ia memang memberikan impak yang begitu besar kepada penduduk kampung khasnya yang mana dengan kemudahan ini mereka dapat menjalankan aktiviti-aktiviti mereka.
“Bagi daerah Limbang ini khususnya kita amat berterima kasih kepada agensi pelaksana seperti JKR, DID dan juga Majlis Daerah Limbang kerana dapat melaksanakan projek-projek dengan begitu baik walaupun ada sedikit kelewatan tetapi alhamdulillah ia dapat disiapkan sehingga projek 2019,” katanya ketika mengadakan lawatan ke beberapa Projek Transformasi Luar Bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota semalam.
Antara projek yang dilawati ialah Projek Naik Taraf Kemudahan Dewan Kampung Sibukang, Projek Naik Taraf Padang Taman Desa Pabahanan, Projek Bina Baru Dewan Taman Desa Pabahanan, Projek Bina Baru Gelanggang Futsal Kampung Pabahanan, Projek Naik Taraf Gelanggang Futsal Kampung Buangsiol Fasa 1 (Membumbung) dan Projek Naik Taraf Gelanggang Futsal Kampung Bukit Kota.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota juga menambah selain pembangunan infrastruktur, rakyat juga perlu memikirkan juga soal pembangunan ekonomi dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk.
“Kita juga mahu penduduk kampung jangan hanya menumpukan kepada projek-projek infra semata-mata, projek-projek infra ni seperti dewan, jalan dan sebagainya.
“Mereka juga perlu memikirkan projek-projek ekonomi dan pendidikan supaya mereka dapat mengembangkan ekonomi setempat,” tambahnya.