Tanjung Manis, Bintulu dan Serian bertukar status hijau
KUCHING: Tiga daerah, Tanjung Manis, Bintulu dan Serian bertukar status daripada kuning kepada hijau setelah 14 hari tiada kes dilaporkan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah berkata, ini menjadikan jumlah daerah berstatus kuning setakat hari ini sebanyak tiga buah dan daerah berstatus hijau pula sebanyak 37 buah.
Menurutnya, Sarawak merekodkan tiada kes positif Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan kekal 553 kes.
"Terdapat 11 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) dilaporkan manakala sembilan kes lagi masih menunggu ujian makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, sebanyak 3,328 jumlah permohonan pergerakan antara daerah di 28 buah Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Sarawak telah diterima menjadikan jumlah kumulatif permohonan sebanyak 130,466.
Menurutnya, daripada jumlah kumulatif tersebut, 120,455 permohonan telah diluluskan manakala 10,011 permohonan telah ditolak.
"Pasukan pematuhan telah memantau sebanyak 1,817 lokasi iaitu pasar raya (259), restoran (302), kilang (34), bank (159), pejabat kerajaan (89), penjaja (51), pasar tani atau awam (165), tempat ibadah (98), tempat riadah (58), tapak pembinaan (25) dan lain-lain (577)," katanya
Sementara itu, seramai 426 Individu di bawah pemantauan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 buah hotel adalah seramai 2,150 orang.
Manakala, seramai 13,753 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.