Veteran ATM terlantar lumpuh
SERIAN: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),Kopral (B) Helbirtren ak Ronnie terlantar lumpuh separuh badan dari pinggang ke bawah setelah terjatuh di bilik mandi pada 30 Jun 2015.
Sejarah hitam lima tahun lalu itu menyebabkanya tidak boleh bercakap.
Ketika itu beliau sedang bercuti dan dalam persiapan untuk terlibat dalam Op Jagakawan, Pos Limbang pada 1 Julai 2015.
Penderitaan Helbirtren yang tinggal
di Kampung Tebedu Mawang, Tebedu,di sini, mendapat perhatian Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar yang meluangkan masa melawatnya semalam.
Mohd Isa berkata,sempena lawatan itu pihaknya menyampaikan bekalan keperluan asas, lampin pakai buang serta susu tepung kepada veteran ATM terbabit.
"Bantuan ini membantu meringankan beban ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasakan," katanya.
Beliau turut menyampaikan Bantuan Peralatan Pesakit iaitu katil, tilam dan kerusi roda yang telah disediakan oleh JHEV ATM Sarawak.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengarah JHEV ATM Sarawak, Mejar Pahot ak Joll serta wakil Persatuan-persatuan veteran sekitar Serian.