Bayaran tunai BKSS, BSH dan BPN esok
KUCHING, 2 Julai: Pembayaran secara tunai Bantuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan Fasa 2 & 3 Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 Dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi kawasan pendalaman Sarawak yang tiada akaun bank akan bermula di Zon Utara dan Tengah Sarawak esok.
BKSS ialah bantuan dari kerajaan Sarawak manakala BSH dan BPN adalah bantuan dari kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan jadual pembayaran terbabit disiarkan di laman Facebook Perbendaharaan Malaysia Sarawak-Rasmi, bagi Zon 1 (Utara) - Limbang, Miri dan Bintulu akan diadakan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Marudi esok.
Ini diikuti di Dewan Masyarakat Beluru pada 4 hingga 6 Julai depan dan di BSN Cawangan Limbang pada 8 Julai serta enam lokasi lain sehingga 25 Julai depan.
Manakala bagi Zon II (Tengah)-Sarikei, Sibu dan Mukah bermula di Dewan Suarah Mukah pada esok dan 4 Julai depan dan di Stadium Perpaduan Dalat pada 6 Julai depan serta lapan lokasi lain sehingga 26 Julai.
Sebelum ini pembayaran terbabit sudah bermula bagi Zon III (Selatan)-Sri Aman, Betong, Samarahan dan Serian di Dewan Masyarakat Lingga pada 1 Julai lepas dan Kompleks Sukan Sri Aman pada hari ini dan esok hari serta selepas ini di sembilan lokasi lain sehingga 30 Julai depan.
Masa penunaian terbahagi kepada tiga sesi iaitu Sesi 1 dari jam 8.30 pagi hingga jam 11.30 yang dikhaskan bagi golongan warga emas berusia 60 tahun dan keatas.
Sesi 2 pula dari jam 11.30 hingga jam 1.30 tengahari untuk penerima biasa berusia 59 tahun ke bawah dan Sesi 3 dari jam 1.30 hingga 4.30 petang juga bagi penerima biasa berusia 59 tahun ke bawah.
Penerima BKSS, BSH dan BPN 2020 atau waris berdaftar mereka diwajibkan membawa kad pengenalan atau mykad atau mykid atau atau surat beranak bagi penunaian di lokasi.