Biogas untuk dua kampung di Mukah

KUCHING: Penduduk di Kampung Teh dan Kampung Tabo, dalam kawasan DUN Balingian bakal menikmati bekalan gas murah apabila loji bekalan biogas yang pertama di negeri ini memulakan operasi pada 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, konsep penyaluran biogas ini sama seperti penggunaan gas paip di kebanyakkan kawasan perumahan di Miri. 

“Pengguna gas paip di Miri membayar sekitar RM4 hingga RM5 sebulan berbanding tong gas silinder (LPG) kira-kira RM30.”

“Ini sudah tentu dapat mengurangkan beban pengguna kerana gas paip jauh lebih murah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, projek yang diluluskan kerajaan negeri pada Mac tahun ini dibangunkan oleh Craun Research akan menggantikan penggunaan gas silinder ketika ini.

Abdul Arbi berkata, negeri ini melakar sejarah sebagai negeri pertama di dunia menghasilkan biogas untuk kegunaan domestik berasaskan kanji rumbia.

“Projek yang dibangunkan di Kampung Teh dan Kampung Tabo, Mukah itu pada mulanya bertujuan mencari penyelesaian secara bersepadu ke atas masalah pencemaran alam sekitar berpunca daripada aktiviti pemprosesan kanji rumbia di Balingian.”

Hasil kajian Craun Research sejak 2003, ia kemudian beralih kepada penghasilan biogas berasaskan kanji rumbia pada tahun 2018.

Majlis pelancaran Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 23 November 2019 bertempat di Kampung Tabo, Mukah.

“Projek ini umpama serampang dua mata, menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar dan pada masa yang sama membekalkan sumber alternatif gas yang murah kepada penduduk tempatan,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel