Covid-19 : Ketatkan SOP, Ketua Wanita SUPP
KUCHING: Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan berusaha melobi agar tindakan segera diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook mencadangkan beberapa langkah untuk tempoh dua minggu akan datang.
“Pertama, mengenakan sekatan perjalanan dari Kuching dan Samarahan ke bahagian lain. Lindungi zon hijau.”
“Kedua, perintah berkurung mulai jam 8 malam hingga 5 pagi, melainkan perlu keluar untuk urusan kerja,” katanya.
Kho menambah, sekatan keluar dari kediaman masing-masing juga perlu dikenakan terhadap kawasan kejiranan yang sudah dikenalpasti kawasan panas.
Beliau turut mencadangkan agar larangan perhimpunan melebihi 25 orang, resepsi perkahwinan dan kenduri dilaksanakan.
“Saya tahu cadangan ini mengundang rasa tidak senang dari sektor perniagaan, namun tolong ingat kluster Covid-19 yang pernah kita hadapi sebelum ini.”
“Siapa yang dapat memberi jaminan perkara ini tidak berlaku lagi?”, soal Kho dengan penuh kebimbangan.
Beliau turut mencadangkan agar sektor ekonomi dan perniagaan yang boleh melakukan kerja dari rumah agar melaksanakan sistem separuh bekerja dari rumah untuk kakitangan.
Selain itu, pasukan penguatkuasa majlis, polis dan Rela perlu dikerah dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Saya percaya, semakin cepat kita bertindak, semakin baik peluang untuk menghalang wabak ini. Jika anda ada cadangan tambahan sila nyatakan,” katanya dalam hantaran itu lagi.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak kini berdepan kemungkinan memasuki gelombang kedua penularan wabak COVID-19 apabila merekodkan 10 kes positif masing-masing di Daerah Kuching (6), Samarahan (2) dan Bintulu (2).