Bomba tangkap anak buaya sesat


SIBU,3 Julai (Bernama) -- Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Empat berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 1.82 meter di dalam sebuah parit di Kampung Bahagia Jaya di sini hari ini.
Ketua JBPM Zon Empat Sibu, Janggan Muling berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.20 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, buaya yang memiliki ukur lilit kira-kira 0.6 meter itu ditangkap sepasukan anggotanya yang memaksa reptilia itu untuk keluar dari sebuah pembetung parit tersebut menggunakan pancutan air tekanan tinggi.

“Tindakan operasi menutup laluan depan dan belakang parit itu dan dengan bantuan orang awam, jala dipasang di dalam parit dan anggota bomba menggunakan satu salur bantu bermula dengan tekanan air tinggi dipancutkan ke dalam pembetung sehingga buaya itu keluar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, selepas berjaya dipaksa keluar, anggota terlibat bertindak mengikat bahagian mulut dan kaki reptilia itu menggunakan tali dan menutup kedua-dua mata buaya itu dengan pita pelekat.
“Buaya itu kemudiannya diserahkan kepada pihak SFC (Perbadanan Perhutanan Sarawak) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


LihatTutupKomentar
Cancel