Jual pelitup muka tiruan, lelaki didenda RM10,500

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warganegara Malaysia didenda RM10,500 atau jika gagal bayar empat bulan penjara di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah menjual 35 kotak pelitup muka tiruan melalui transaksi dalam talian di laman sosial facebook.

Lelaki berkenaan telah ditangkap dan didakwa kerana memiliki 35 kotak pelitup muka berjenama Cross Protection bagi tujuan perdagangan dengan perihal cap dagangan yang didaftarkan dengan salah pada 29 Jun 2020 jam 12.30 tengah hari di premis beralamat No 1-11, Jalan SP3/1, Taman Saujana Puchong, 47100, Puchong Selangor. 

Nilai rampasan barang kes adalah dianggarkan sebanyak RM 1,575.00. 

Laporan verifikasi mengesahkan pelitup muka yang dirampas adalah bukan keluaran pemilik berdaftar Cap Dagangan berkenaan.

Kesalahan adalah di bawah Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu 
mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta yang sama. 

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara dalam hujahnya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam demi menjaga hak pengguna di negara ini dan mengenakan hukuman yang setimpal.

Pengarah, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Dato’ Iskandar Halim Sulaiman menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hak pengguna dan juga hak harta intelek industri. 

Peniaga yang didapati melakukan kesalahan boleh ditangkap dan terus didakwa di mahkamah.
LihatTutupKomentar
Cancel