Kaji cuaca sebelum ke laut


KUCHING: Maritim Negeri Sarawak menasihatkan komuniti maritim khususnya di Sarawak untuk mengambil perhatian sewajarnya berkenaan ramalan keadaan cuaca semasa apabila hendak melakukan sebarang aktiviti di laut. 

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak,Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, komuniti maritim terutamanya para nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong dan penumpang hendaklah mengambil berat tentang keselamatan semasa berada di laut bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta mereka terjamin serta tidak berlaku sebarang insiden yang tidak ingini berlaku. 

"Laporan dari Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang berkelajuan 50 kmsj dengan ombak yang boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak Barat. 

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,pihak Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada pengusaha-pengusaha bot pelancong, bot penumpang dan bot nelayan dapat bersama meningkatkan keselamatan dilaut. 

"Begitu juga kepada pengusaha pusat rekreasi di pulau - pulau untuk menghentikan sementara aktiviti rekeasi dan sukan di laut sehingga keadaan cuaca kembali selamat. 

"Sehubungan dengan itu, jika terdapat sebarang kejadian kecemasan atau kejadian yang tidak diingini berlaku di laut, dimohon agar menyalurkan maklumat kepada pihak kami dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 ataupun MERS 999 yang beroperasi 24 jam,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel