Sarawak bercuti 22 Julai, Fatimah
KUCHING, 2 Julai: Taman asuhan kanak-kanak (taska), taman didikan kanak-kanak (tadika) dan sekolah di negeri ini tidak akan dibuka 22 Julai depan sempena sambutan Hari Sarawak.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian kerana Hari Sarawak sudahpun diwartakan sebagai cuti umum di Sarawak.
"Jadi taska dan tadika juga tidak buka dan sekolah juga tidak buka (di Sarawak pada 22 Julai depan). Sama (taska, tadika dan sekolah) di Sarawak, tapi di tempat lain sekolah buka,"katanya selepas melawat Tadika Krista Taman Centurion di Jalan Stutong, BDC, di sini, hari ini.
Fatimah mengulas kekeliruan terhadap Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 1 Julai lepas yang telah mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi murid bukan kelas peperiksaan awam dilaksanakan secara berperingkat.
Dalam pengumuman terbabit sekolah rendah Tahun 1 hingga Tahun 4, tarikh pembukaan semula sesi persekolahannya adalah Rabu, 22 Julai 2020.
Sementara itu, beliau mendedahkan sudah 100 peratus taska dan 83.4 peratus tadika di negeri ini sudah dibuka semula setakat ini dan yang belum dibuka semula terdiri dari 461 tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan 19 tadika swasta.
"Tadika KEMAS akan beroperasi semula 15 Julai depan dan kemudian 19 tadika swasta terbabit pula pada 20 Julai depan,"katanya dan berharap ibu bapa di negeri ini tidak khuatir menghantar anak mereka ke taska dan tadika.
Fatimah berkata ini kerana hampir semua taska dan tadika yang telah dilawat pihaknya setakat ini tidak ada yang mencatatkan kehadiran kanak-kanak sehingga penuh 100 peratus dan ada hanya sekitar 60 peratus.