Kanak-kanak perempuan maut,bayi 7 bulan cedera parah kemalangan
KUCHING: Suami isteri cedera manakala anak perempuan mereka berusia empat tahun maut dan seorang lagi masih bayi berusia tujuh bulan cedera parah setelah motosikal dinaiki empat beranak itu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu Isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce,di sini,tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian jam 12.01 itu, mangsa Tania Tia Phua, 4, yang cedera di bahagian kepala meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak(HUS).
Menurutnya,bayi lelaki berusia tujuh bulan Joepian Phua, cedera parah di bahagian muka dan anggota badan,bapa mereka yang membonceng motosikal Jinson ak Jimbar, 31 cedera ringan dan ibu mereka Phua Choon Shiang, 35, cedera parah di bahagian paha.
Katanya, kejadian berlaku apabila kereta Honda Jazz dipandu seorang lelaki bekerja sebagai Eksekutif Jualan berusia 34 tahun yang datang dari arah Batu 3, seorang diri menghala ke Jalan Hospital membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Hospital.
"Kereta dipandu telah dilanggar di bahagian sebelah kiri oleh penunggang motosikal SYM yang bergerak lurus dari arah Pusat Bandar menghala ke arah Batu 3.
"Penunggang motosikal bersama pembonceng, isteri serta dua orang anak mereka telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS),"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anak sulung penunggang yang duduk di bahagian depan motosikal disahkan meninggal di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak pada jam 1.15 pagi
"Berdasarkan laporan pemandu kereta, lampu isyarat warna hijau semasa dia membelok ke kanan.
"Kita telah menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut, tangkapan di lakukan ke atas pemandu kereta di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 198,"katanya.
Beliau berkata, sampel darah pemandu kereta turut diambil untuk analisis alkohol di dalam darah dan dirakam percakapan sebelum dibebas dengan jaminan polis.