Pembinaan MRSM Lawas bukti keprihatinan PM - Tengah

SIBU, 3 Julai (Bernama) -- Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lawas adalah satu bukti bahawa kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berorientasikan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata keputusan untuk membina MRSM itu yang gagal dibuat semasa pemerintahan kerajaan terdahulu dapat dicapai dalam masa tiga bulan sahaja sejak Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

Menurutnya, Muhyiddin komited untuk membangunkan negara ini dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada kerajaan persekutuan.

“Kita sekarang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak kerja perlu dibuat untuk memulihkan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tapak Pembinaan MRSM Lawas, kira-kira 484 kilometer ke utara Sarawak dari sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan geran tersebut kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata tender bagi projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya itu akan dibuat secara terbuka dengan peruntukan siling sebanyak RM140 juta.

Beliau berharap supaya kontraktor bagi pembinaan MRSM kelima di Sarawak itu adalah dalam kalangan penduduk tempatan. MRSM Lawas dijangka dapat menempatkan 450 pelajar dan projek itu dijangka siap pada 2024.

-- BERNAMA

Gambar Kementerian Pembangunan Luar Bandar
LihatTutupKomentar
Cancel