Penerbangan AirAsia Kuching - Sibu, 21 kali seminggu
KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, operasi penerbangan AirAsia Berhad laluan Kuching ke Sibu akan ditingkatkan sebanyak 21 kali seminggu berkuatkuasa mulai 1 Ogos depan.
Menurutnya, selepas pembukaan sektor ekonomi Mei lalu, operasi penerbangan Kuching ke Sibu hanya tujuh kali seminggu.
Katanya, penambahan operasi penerbangan sebagaii usaha memulihkan industri pelancongan domestik ekoran permintaan.
"Kementerian telah berbincang dengan pihak Airasia untuk meningkatkan operasi penerbangan di laluan ini.
"Syarikat AirAsia telah bersetuju untuk meningkatkan operasi penerbangan sebanyak tiga kali sehari yang menjadikan jumlah penerbangan setiap minggu sebanyak 21," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kim Shin turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Airasia Berhad dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) atas kerjasama dan tindak balas yang pantas dalam mengatasi isu ini.
"Saya menasihatkan semua penumpang untuk terus mematuhi SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk mengekang penyebaran Covid-19 di negeri ini," katanya.