Sekolah luar bandar Betong bersedia - Uggah
BETONG: Sekolah luar bandar di sini bersedia memulakan sesi persekolahan dengan menitik berat Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, untuk sekolah yang lebih besar beliau akan membantu menyediakan alat pengimbas suhu agar pelajar tidak perlu berbaris panjang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengingatkan para guru bahawa mereka kini memikul tanggungjawab sebagai barisan hadapan.
"Pihak sekolah akan menyediakan kawasan mencuci tangan, mendapatkan pembersih tangan yang cukup, termometer, membuat tanda jarak sosial di sepanjang koridor mereka, dan jarak satu meter antara meja di kelas," katanya.
Semalam Uggah mengunjungi SMK Spaoh dan lima sekolah rendah di sini untuk memeriksa persiapan ketika sekolah dibuka semula pada 15 Julai (Tahun 5 hingga Tahun 6, Tingkatan 1 hingga 4, Tingkatan 6 Semester 1) dan pada 22 Julai (Tahun 1 hingga Tahun 4) tidak lama lagi.
Lima sekolah rendah tersebut adalah SK Spaoh, SK Suri Debak, SK Gayau, SK St John, dan SK Paku Central.
Uggah juga mengingatkan para guru tentang peranan penting mereka dalam melindungi pelajar daripada jangkitan COVID-19.
"Pastikan semua SOP dan nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa dipatuhi tanpa gagal," ujarnya.