Taman sukan ekstrim di tasik bekas kuari
KUCHING, 12 Julai: Tasik seluas lebih 20 ekar di kuari lama Ang Cheng Ho, Batu Kawa akan dijadikan kawasan rekreasi bertema sukan air dan extreme secara berfasa di bandar raya ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata demikian dengan fasa pertama kerja pemulihan kawasan kuari lama itu akan membabitkan pembinaan dewan masyarakat dan sukan berserta hub inovasi bernilai RM10 juta di bawah Projek Rakyat.
"Kami semua bersama melihat ke hadapan untuk membuka proses tendernya pada Ogos atau September depan,"katanya ketika mengadakan majlis penyerahan dokumen perlantikan juruperunding arkitek dan firma kejuruteraan bagi projek rakyat terbabit di kuari lama itu yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.
Majlis Perbandaran Padawan menjadi agensi pelaksana projek terbabit dengan dokumen perlantikan juruperunding arkitek dan firma kejuruteraan projek telah disampaikan Timbalan Setiausaha MPP, Ir Goh Thiam Ho.
Sim berkata fasa seterusnya adalah bagi menjadikan tasik melebihi 20 ekar di kuari itu sebagai kawasan rekreasi bertema sukan air dan extreme untuk orang awam.
1. Datuk Dr Sim Kui Han menyaksikan penyerahan dokumen perlantikan juruperunding arkitek dan firma kejuruteraan bagi projek dewan masyarakat dan sukan berserta hub inovasi bernilai RM10 juta di kuari lama Ang Ch'eng Ho.
2. Lakaran gambar dewan masyarakat dan sukan berserta hub inovasi bernilai RM10 juta di kuari lama Ang Ch'eng Ho.