Usul pemilihan speaker antara fokus Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya yang dijangka menghangatkan suasana hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.
Usul itu adalah untuk Yang Dipertua dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan mereka.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membentangkan usul bagi memilih bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut dijangka mencadangkan enam ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Keempat Belas.
Menurut laman rasmi Parlimen, keenam-enam mereka yang dicadangkan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut); Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson).
Persidangan Dewan Rakyat yang kebiasaannya bermula tepat jam 10 pagi akan dimulakan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan disusuli usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja.
Persoalan berkaitan kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini yang akan diajukan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri merupakan antara tumpuan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Tidak kurang menariknya soalan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan program yang disediakan oleh Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran teknikal berteraskan sains dan teknologi nuklear kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) turut dijangka mengemukakan soalan mengenai persediaan dan tindakan kementerian dalam menangani dan mengukuhkan keselamatan siber negara, selain pertanyaan penglibatan Malaysia dalam usaha sama sektor perkhidmatan kesihatan bersama negara-negara lain bagi mengekang COVID-19 yang bakal diajukan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok).
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 telah diadakan selama sehari pada 18 Mei lepas yang hanya melibatkan titah ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos 2020 berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
-- BERNAMA