Cuti Krismas, S'wak mahu ikut Sabah
BAU: Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berharap
Kerajaan Sarawak mempertimbangkan cuti tambahan sehari bagi perayaan Hari
Krismas yang bakal disambut tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada pihak kerajaan (Sarawak)
untuk memutuskan cuti tambahan tersebut.
“Sebagai komuniti Kristian, kami mempunyai harapan tinggi
kerajaan mempertimbangkan (cuti tambahan).
"Jika Sabah berpeluang untuk menikmati, kita juga mengharapkan
perkara yang sama," katanya pada sidang media semasa meninjau persiapan
Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Bazar Krokong, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
mengumumkan cuti umum selama dua hari bertarikh 24 dan 25 Disember pada Rabu
lalu.
Ini bermakna Sabah mengumumkan cuti tambahan sehari yang
jatuh pada pada 24 Disember untuk perayaan Hari Krismas tahun ini.
Sabah sebagai negeri pertama yang melaksanakan cuti umum
selama dua hari bertarikh 24 dan 25 Disember.
Henry berkata, keputusan pertimbangan cuti tambahan perlu
dibincangkan dalam peringkat kabinet terlebih dahulu.
Katanya, keputusan untuk menentukan tarikh jika dipersetujui
bergantung dengan keputusan kerajaan.