Rokok dan minuman tanpa cukai bernilai RM88,502 dirampas
BINTULU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan penyeludupan rokok dan minuman keras melibatkan amaun duti kastam sebanyak RM 449,504.23 di sebuah premis di Jalan Jalan Tun Ahmad Zaidi di Parkcity Commerce Square, pada Sabtu lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato' Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata pada 14 Disember, JKDM Bintulu dengan kerjasama JKDM Kuching dan Agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah kedai berkunci yang disyaki telah dijadikan stor penyimpanan rokok dan minuman keras tidak lulus Kastam.
“Stor dibuka secara paksa kerana pemilik premis gagal dikesan, dan hasil serbuan tersebut, pasukan telah menjumpai sebanyak 222,600 batang rokok dan 9,178 liter minuman keras disimpan di dalamnya.”
“Jumlah anggaran nilai barang sitaan adalah sebanyak RM 88,502.00 serta jumlah anggaran amaun duti Kastam yang terlibat sebanyak RM 449,504.23,” katanya sambil menambah kesemua barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.
Sharifah menambah, modus operandi yang digunakan pemilik premis ialah rokok dan minuman keras tidak lulus Kastam itu disimpan di dalam premis rumah kedai yang kelihatan usang manakala pintu masuk ke stor bersaiz kecil bagi mengelirukan pihak penguatkuasaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika disabit salah, suspek berhadapan dengan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar, serta tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar, atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tamat/