214 kes jenayah kekerasan sepanjang 2019
ACP Awang Din Awang Gani (empat dari kiri) berkenalan dengan ketua masyarakat yang menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, semalam. |
KUCHING, 9 Jan: Keseluruhannya sebanyak 214 kes jenayah kekerasan membabitkan bunuh, rogol, samun dan samun berkawan telah dilaporkan di bandar raya ini sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata berdasarkan statistik pihaknya kes jenayah kekerasan terbabit telah meningkat sebanyak 38 kes berbanding 2018 dengan tertinggi meningkat ialah samun berkawan iaitu sebanyak 22 kes.
"Kes samun berkawan terbabit seperti menyamun seramai dua atau tiga orang kedai 24 jam,"katanya selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Awang Din berkata bagi mencegah kes samun berkumpulan dari berleluasa tahun lepas pihaknya telah melakukan banyak tangkapan dan telah membuang daerah seramai 21 individu dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Katanya tahun lepas bagi kes samun pula adalah sebanyak 50 kes yang meningkat sebanyak 20 kes berbanding 2018 diikuti rogol sebanyak 18 kes yang meningkat sebanyak lapan kes berbanding 2018.
Selain itu, bunuh pula ada sebanyak dua kes yang meningkat satu kes berbanding 2018 serta kes jenayah kekerasan lain sebanyak 68 kes yang menurun sebanyak 13 kes berbanding 2018.
Kes jenayah harta benda pula keseluruhannya sebanyak 1,157 tahun lepas yang menurun sebanyak empat kes berbanding 2018 dan merangkumi kes curi motosikal sebanyak 367 kes yang menurun sebanyak 137 kes berbanding 2018.
Diikuti curi motokar sebanyak 127 kes tahun lepas yang meningkat sebanyak 29 kes berbanding 2018, curi lori atau van sebanyak lapan kes tahun lepas yang menurun empat kes berbanding 2018.
Selain itu, pecah rumah sebanyak 292 kes tahun lepas yang meningkat 19 kes berbanding 2018 serta lain-lain kecurian harta benda sebanyak 363 kes tahun lepas yang meningkat 89 kes berbanding 2018.
tamat