3,000 pemimpin MPKKP bertugas Mac
KUCHING: Pakatan Harapan melantik lebih 3,000 pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan memulakan tugas pada Mac.
Selain itu, kira-kira 2,000 permohonan masih ditapis sebelum dilantik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, pengambilan MPKKP dimulakan November lalu berdasarkan beberapa kriteria.
"Proses lantikan melalui saringan tapisan serra menyemak latar belakang seperti rekod jenayah atau sama ada individu itu diisytiharkan bankrap," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama PH Sarawak hari ini.
Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, MPKKP bukan untuk menggantikan Tuai Rumah dan Ketua Kampung yang sedia ada kerana ia dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Menurutnya, ia membantu menyalurkan semua program, dana dan inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan untuk manfaat kepada rakyat luar bandar.