Bantuan awal persekolahan RM500
KUCHING: Permohonan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) kini dapat diproses secara atas talian bagi golongan yang layak menerima bantuan tersebut.
Pemberian dana bertujuan untuk meringankan beban keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak golongan tidak berkemampuan di negara ini.
Permohonan dapat dibuat secara atas talian di http://inspirasiku.yapeim.my ataupun dapatkan borang secara percuma di Ibu Pejabat YaPEIM, Pejabat Pentadbiran YaPeim Negeri mahupun di Cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.
Bagi permohonan yang lengkap, mereka dapat menghantar borang tersebut melalui kaedah serahan tangan atau pos laju ke Ibu Pejabat YaPEIM mahupun emel ke alamat inspirasiku@yapeim.my atau kaunter Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.
Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Parihah Hasan dalam kenyataan berkata, tarikh tutup permohonan fasa pertama bagi bantuan awal persekolahan pada 31 Januari ini manakala bagi permohonan yang berjaya, akan dimaklumkan mulai 16 Mac depan tertakluk kepada jumlah semasa kutipan dana.
Terdahulu, YaPEIM melancarkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) pada 6 November 2019 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM40 juta untuk membantu golongan B40 di negara ini.
Bantuan awal persekolahan yang diberi adalah berjumlah sehingga RM500 manakala untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula berjumlah sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkaitan.
"YaPEIM mempelawa dan mengalu-alukan masyarakat dan syarikat korporat yang prihatin untuk bersama-sama menjayakan kutipan dana ini dengan menyumbang ke beberapa saluran yang ditetapkan.