Berikan bukti untuk tangkap pembekal
SERIAN: Untuk penerima-penerima benih Musang King di N20 Tarat, sila bawa anak-anak benih yang disyaki bukan asli Musang King ke pejabat pertanian terdekat untuk siasatan lanjut.
Demikian jawapan tegas mengenai isu pemberian biji benih durian king palsu kepada penduduk yang tular di media sosial.
"Sekiranya betul anak benih tersebut adalah bukan Musang King maka tindakan susulan berkaitan akan diambil.
"Pihak kami memandang serius aduan kampung berkenaan sekiranya ia di dalam N20 Tarat.
"Isu ini pastinya akan memberi kesan bukan sahaja kepada semua penerima tetapi juga kepada pihak yang memberi termasuk Jabatan Pertanian & Residen dan Pembekal Anak Benih," kata kenyataan tersebut.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dalam hantaran facebooknya berkata," kelmarin berkenaan "ada orang kampung yang dibohongi buta-buta, katanya dapat benih Musang King tetapi rupanya Durian Biasa" adalah dirujuk.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kesal timbul lagi isu pembekal yang memberikan anak benih bukan daripada spesies Musang King kepada para petani seperti yang dihebohkan
Douglas Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mahu kakitangan daripada Jabatan Pertanian yang bertanggungjawab mengedarkan anak benih durian kepada para petani untuk memastikan ia tulen.
Menurutnya, insiden pembekal yang tidak memenuhi syarat dengan mencampurkan spesies durian lain dengan Musang King berulang ekoran permintaan tinggi daripada para petani.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat program Pembangunan Pertanian Bahagian Serian di Pejabat Pertanian Daerah, semalam.
Beliau berkata, petani tidak berpuas hati dan meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.
"Ia sekaligus mewujudkan persepsi tidak baik terhadap program ini dan segelintir daripadanya menyalahkan pihak kerajaan.
"Maka, para pegawai harus memastikan para pembekal yang dipilih untuk memberi anak benih durian tulen," katanya.
Katanya, ini adalah untuk mengelakkan para petani mendapat sumber lain yang tidak disahkan termasuk dari luar negara.