Chanturu sertai Sarawak United?
PENYERANG lincah, Chanturu bakal menyarung jersi Sarawak United? Kelibat S Chanturu dirakamkan di Lapangan terbang Antarabangsa Kuching semalam untuk menyertai sesi latihan.
Persoalan sekarang adakah benar bekas pemain sayap Kelantan, JDT, Felda United & Sarawak FA itu bakal menyarung jersi Sarawak United? Sebelum ini, laporan akhbar menyebut beberapa pemain ternama termasuk pemain JDT bakal menyertai Sarawak United yang bakal dilatih jurulatih dari Sepanyol.
Malah, dalam catatan facebook, bekas pemain sayap Sarawak tersebut sedang meneliti pasukan mana yang akan disertainya.
Pemain yang terkenal dengan jolokan Kelantan Express tersebut baru-baru ini juga, dikhabarkan sedang mengadakan rundingan untuk kembali menyarung jersi negeri pantai timur itu.
Tersebar sekeping gambar pemain kelahiran Kulim, Kedah itu mengadakan pertemuan bersama Pengarah Urusan After Image Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari yang merupakan syarikat bertanggungjawab menguruskan pasukan The Red Warriors dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman.
Pemain sayap berusia 32 tahun itu mendapat jolokan sedemikian daripada penyokong Kelantan berikutan keistimewaannya memiliki larian pantas menerusi gerakan tepi padang.
Chanturu memulakan karier bersama Pulau Pinang pada 2009 sebelum disambar jurulatih, B Sathianathan untuk mewakili Kelantan, tahun berikutnya.
Bersama Kelantan, dia membantu pasukan menamatkan kemarau 89 tahun menjulang kejuaraan pertama Piala Malaysia selain trofi Liga Super (2011,2012), Piala FA (2012) dan Piala Malaysia (2012).
Kredit Foto: Came Cameron (S. Chanturu tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching).