Doktor Sibu dilanjutkan kontrak

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melanjutkan kontrak perkhidmatan dua pegawai perubatan (MO) di Sarawak yang ditamatkan kontrak mereka baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menerusi kenyataan hari ini.

"Isu berhubung penamatan kontrak pegawai-pegawai perubatan di Sarawak telah diselesaikan dengan segera oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kontrak perkhidmatan pegawai-pegawai perubatan berkenaan telah dilanjutkan," katanya.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu berkata beliau telah membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurut Chong, Lim seterusnya telah mengadakan rundingan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Hari ini Kementerian Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan pegawai-pegawai perubatan berkenaan.

"Kita juga berterima kasih kepada media kerana telah melaporkan perkara ini yang sememangnya mendapat perhatian rakyat Sarawak," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil seris masalah rakyat dan akan melakukan yang terbaik menyelesaikannya secepat mungkin.

Sebelum ini media melaporkan dua doktor muda yang berkhidmat di Hospital Sibu merupakan antara empat pegawai perubatan (MO) yang tidak ditawarkan kontrak baharu dan tidak diperakui untuk lantikan tetap oleh kerajaan.

Dr Wong Woan Hui dan Dr Bong Ing Hui telah menerima surat penamatan kontrak tanpa alasan diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada November 2019.

Penamatan kontrak perkhidmatan Dr Wong dan Dr Bong telah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
 
LihatTutupKomentar
Cancel