Kek lapis laku menjelang tahun baru cina
KUCHING: Menyedari perniagaan kek lapis Sarawak yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan Rosni Sebini, 54, berasal dari Spaoh, Betong, mengusahakan kek lapis Sarawak sebagai perniagaan keluarga.
Rosni ditemani anaknya Anis Haslina Hussain, 20, turut membuka gerai jualan di Kenyalang Park, di sini, sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi yang ternyata memberi limpahan rezeki kepada golongan peniaga.
Rosni berkata, dia boleh meraih pendapatan sehingga RM 1,000 sehari hasil jualan kek lapis di gerai di Kenyalang Park yang dibuka selama 10 hari sempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Apa yang unik mengenai gerai di Kenyalang Park ini bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat Cina tetapi turut dikunjungi masyarakat lain seperti Melayu dan Iban membeli pelbagai barangan yang dijual.
"Inilah antara keunikan dan budaya di Sarawak pada setiap kali musim perayaan," katanya ketika ditemui hari ini.
Menjelas lanjut,katanya, sewa yang dikenakan kepada peniaga di situ ialah sebanyak RM 120 selama 10 hari berniaga mulai jam 10 pagi hingga 11.30 malam.
"Harga jualan kek lapis bergantung kepada saiz bermula RM10 hingga RM23, selain kek lapis saya turut menjual kuih sepit,maruku dan pek yek
"Ternyata inisiatif saya memulakan perniagaan kek lapis sejak 14 tahun yang lalu tidak sia-sia kerana mampu menjana pendapatan,"katanya.
Katanya, hasil serius dalam menjalankan perniagaan kek lapis itu dia juga berjaya membuka kedai Liza Kek Lapis yang menjalankan perniagaan di Tebingan Kuching.
