Syarikat antarabangsa dipilih rangka pelan induk pembangunan KXP - Mukhriz

JITRA, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah telah menganugerahkan kontrak merangka pelan induk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada sebuah syarikat antarabangsa, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Tanpa mendedahkan butirannya, beliau berkata proses penganugerahan kontrak itu telah melalui penilaian lengkap serta mengambil tempoh masa yang agak panjang bagi memastikan ketelusannya.
"Sedikit masa lagi kita akan membuat pengumuman rasmi mengenai penganugerahan kontrak bagi merangka pelan induk KXP itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai status pembangunan KXP selepas merasmikan projek menaik taraf Jalan Padang Sera/Siputeh di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata kerja-kerja di atas tanah untuk pembinaan KXP belum berjalan memandangkan ketika ini kerajaan negeri masih di peringkat pengambilan tanah.
 
Dalam pada itu, Mukhriz berkata selain KXP, beberapa projek lain di negeri ini termasuk Kedah Rubber City di Padang Terap dan Northern Gateway, Bukit Kayu Hitam sudah pun dimulakan yang menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek yang dirancang.

"Kita sudah cukup dengan merancang, strategi pun sudah ada, hujung tahun 2019 lalu dan tahun ini adalah untuk kita melaksanakan apa yang telah dirancang," katanya.

Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan berkata kerajaan negeri berharap lapangan terbang itu dapat beroperasi menjelang 2024 bagi memenuhi keperluan kargo dan logistik khususnya di Kulim dan Pulau Pinang.

Pada 19 Mac tahun lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel