Lelaki panjat menara disiasat atas kesalahan immigresen dan menceroboh
KANOWIT (Sarawak), 21 Jan (Bernama) -- Polis akan menyiasat kes seorang lelaki yang memanjat menara telekomunikasi di Bukit Mamaloh dan bertahan di atas menara tersebut sehingga lebih 30 jam sejak pagi semalam, atas kesalahan menceroboh dan imigresen.
Ketua Polis Daerah Kanowit, ASP Tega Bilong berkata, siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempatan atas kesalahan menceroboh serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, suspek berusia 35 tahun, warganegara Indonesia, bekerja sebagai buruh di sebuah kem pembalakan di Nanga Dap, dekat sini, kini sedang ditahan dan menjalani rawatan di Hospital Kanowit.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap suspek oleh pihak hospital mendapati suspek tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal tetapi perlu rawatan kerana dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tindakan lelaki tersebut yang memanjat menara telekomunikasi pada awal pagi Isnin dan terus bertahan untuk tempoh lebih 30 jam, akhirnya turun sendiri setelah berjaya dipujuk pasukan penyelamat jam 3.51 petang tadi.
Kes tersebut bukan setakat menarik perhatian penduduk setempat di sini malah netizen di Sarawak apabila berita itu mulai tersebar luas di media-media sosial.
Tega berkata motif atau sebab suspek memanjat menara masih dalam siasatan kerana suspek berada dalam keadaan halusinasi, kebingungan dan tidak mahu bercakap.
-- BERNAMA