Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak perlu adakan mesyuarat khusus berhubung peralihan kuasa

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengadakan mesyuarat khusus berhubung peralihan kuasa kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menetapkan untuk berbuat demikian selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Biar kita ikut jadual yang Tun (Dr Mahathir) telah syorkan. Saya rasa hanya dengan cara ini barulah kita boleh pastikan transisi atau peralihan kuasa  berjalan dengan lancar dan licin," kata Lim yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan juga anggota Majlis Presiden PH.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan RM100 juta untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyuarakan kesediaan melepaskan jawatan serta merta sekiranya Majlis Presiden PH mengkehendakinya, Lim berkata peralihan kuasa yang licin dan teratur akan menyebabkan keadaan stabil dan kukuh bukan sahaja untuk negara tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi.

"Marilah kita bersatu hati atau mempunyai  tekad yang sama untuk membangunkan ekonomi dan pastikan bahawa kestabilan politik dapat terus kekal supaya dapat membantu ekonomi dan bukan sebaliknya.
 
"Kita tidak harus pertikaikan atau membangkitkan  perkara yang tidak membantu ekonomi atau pembangunan ekonomi," katanya.

Lim berkata sekiranya PH  tidak dapat memastikan penyerahan kuasa berjalan lancar dan licin, keadaan itu akan menyukarkan pakatan tersebut untuk mendapat keyakinan rakyat dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

"Biarlah kita pastikan ekonomi tumbuh dengan mampan, mampu melaksanakan dan memenuhi  manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan licin.  Ini membolehkan PH berdepan PRU ke-15 dengan penuh keyakinan dan  saya percaya kita (PH) boleh berjaya," katanya. 
 -- BERNAMA
 

LihatTutupKomentar
Cancel