PDRM rampas dadah RM145 juta

 
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Polis yang menggempur beberapa kediaman di sekitar ibu negara dalam operasi lima jam bermula Isnin lepas berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM144.9 juta.

Dalam serbuan di sebuah rumah teres dan dua kondominium sekitar Kepong, Selayang dan Sentul bermula 8 malam Isnin hingga 1 pagi semalam itu, polis merampas syabu seberat 309.76 kilogram (kg), heroin mampat belum diproses (12.7 kg), pil ekstasi (637.7 kg), pil Erimin 5 (564.83 kg), ketamin (3.4 kg) dan kokain (6.5 kg).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis turut menahan sembilan individu terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita, seorang daripadanya warga Indonesia berumur dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun. 

"Ujian air kencing yang dilakukan mendapati lima lelaki tempatan dan wanita Indonesia itu positif dadah jenis syabu, ketamin dan benzo.

“Dua daripada lelaki yang ditahan itu juga mempunyai rekod jenayah melibatkan kegiatan penyalahgunaan dadah yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media  di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata dalam operasi itu polis turut merampas dua pucuk pistol dengan 150 butir peluru, empat buah kereta, sejumlah wang tunai mata wang asing dan tempatan, jam tangan, dan pelbagai barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM400,330 bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai telah beroperasi hampir setahun dan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 6.5 juta pengguna untuk satu-satu masa,” katanya.

Kesemua suspek kini direman bermula semalam sehingga 20 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.
-- BERNAMA
 

LihatTutupKomentar
Cancel